REKOLEKSI BELIA BERSAMA FR PETER ABAS DAPAT SAMBUTAN HANGAT
Terawi, Penampang – Rekoleksi sehari bertemakan “Perbaharuilah Cintakasih kami Ya Tuhan” yang dikendalikan oleh Fr Peter Abas telah memikat hati para belia di sekitar Terawi.Seramai 216 belia daripada tujuh kampung di bawah naungan Gereja Holy Nativity Terawi telah menyertai rekoleksi ini.
Rekoleksi ini diadakan adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan diantara para belia juga dapat beramah mesra dengan Fr Peter Abas yang ketika ini beliau bercuti di tanah air sendiri. Peristiwa 15 Mac 2008 itu telah menyedarkan para belia betapa pentingnya hidup berlandaskan kerohanian.
Selain daripada ceramah pelbagai aktiviti termasuk sukaneka turut dijalankan sepanjang rekoleksi tersebut. Dalam ceramah Fr Peter yang berkisar cabaran-cabaran hidup belia, beliau telah mengupas masalah-masalah yang sering dihadapi oleh para belia di Zon 8 Terawi yang mana antara lain yang telah disuarakan oleh mereka adalah tekanan perasaan, masalah keluarga, pergaulan bebas, gejala sosial seperti penagihan dadah dan minuman keras serta penyalahgunaan teknologi seperti internet dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
Fr Peter menekankan beberapa perkara sebagai peringatan kepada para belia antaranya agar belia sentiasa mengamalkan cara hidup yang bersopan-santun dan saling hormat-menghormati terutamanya terhadap ibubapa dan orang yang lebih tua daripada mereka.
Selain itu, beliau juga telah menekankan akan kepentingan pelajaran dan menyeru semua belia agar menggunakan masa mereka sebaiknya untuk belajar.“Kepada mereka yang mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, ambillah peluang tersebut sebaiknya agar dapat dikongsikan dengan keluarga kejayaan itu kelak,” ujar beliau dalam nada penuh pengharapan.
Dalam konteks gejala sosial yang melanda kebanyakan golongan belia pada masa kini, Fr Peter menyeru para belia agar menjauhkan diri daripada dadah dan juga minuman keras kerana ianya boleh menjejaskan kesihatan, Beliau dalam nada berjenaka menyatakan “kalau kamu ambil syabu, nanti otak kamu kering” sebagai pesanan. Kepada remaja perempuan, beliau telah menekankan agar mereka menjaga kehormatan diri dan tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis. Menyentuh kepada pengaruh budaya Barat, Fr Peter dalam ceramahnya menasihati para belia agar tidak terlalu terpedaya dan mengagung-agungkan budaya Barat sehingga terlupa kepada keunikan budaya sendiri seperti tarian ‘Sumazau’ dan bahasa ibunda.
Dalam arus pemodenan dan kecanggihan teknologi yang begitu pesat berkembangm beliau menyeru para belia agar tidak menyalahgunakan kecanggihan teknologi seperti internet dan SMS sebaliknya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan tersebut secara baik. Beliau menyatakan akan kesan pembaziran seperti isian semula yang begitu banyak namun tidak membawa manfaat jika disalahgunakan serta menasihati para belia agar prihatin kepada ibubapa yang berpenat lelah mencari nafkah untuk menyara keluarga termasuk pendidikan para belia.
Sebelum mengakhiri ceramahnya, Fr Peter turut menyeru kepada para belia di Zon 8 Terawi untuk menyertai SYD-2 yang akan diadakan di Ranau Ogos ini. Program pada hari itu diakhiri dengan berbagai sukaneka di mana ianya benar-benar membangun semangat setiap belia yang hadir untuk menyertai. Sukaneka tersebut antara lain bertujuan untuk menerapkan semangat kerjasama, bantu-membantu antara satu sama lain dan bekerja dalam satu pasukan. – Miklin Ationg
(Berita dipetik dari Catholic Sabah Vol.51 No. 8: 20 April 2008)
Comments »
No comments yet.
Leave a comment
Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>
June 23, 2008 | 
